fbpx
Vieshaalaani berjaya meraih naib johan dalam pertandingan IYC Got Talent pada 2019.

Mahu jadi ‘ratu ekspresi’ tari Bharatanatyam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BHARATANATYAM bukan sekadar rentak yang indah di atas pentas, malah satu bentuk seni klasik yang menuntut disiplin tinggi serta ketelitian gerak tubuh, wajah dan jiwa.

Tarian yang berasal dari kuil purba di Tamil Nadu, India itu sudah berusia ribuan tahun dan dianggap lambang penyatuan antara keindahan rohani serta fizikal.

Setiap langkah, lenggok tangan dan perubahan mimik muka membawa makna tersendiri yang menceritakan kisah dewa dewi, cinta, perjuangan serta pengorbanan.

Bagi Vieshaalaani Raja, seni tari Bharatanatyam bukan sekadar hobi, sebaliknya sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.

Gadis berusia 23 tahun tersebut mula menari sejak berusia empat tahun dan menjadikan tarian sebagai cara untuk melepaskan tekanan setiap kali berasa bosan atau tertekan.

“Saya mula menari seawal umur empat tahun. Bila rasa stres atau bosan, saya akan menari. Ia jadi cara saya lepaskan tekanan,” katanya.

“Minat yang mendalam terhadap tarian ini telah membawa saya ke pelbagai pentas dan pertandingan,” ujarnya.

Pada tahun 2019, Vieshaalaani memenangi naib johan IYC Got Talent, selain menyertai acara tarian terbesar di India yang tercatat dalam Guinness World Record kerana melibatkan 5,000 penari menari serentak.

Dua tahun kemudian, ketika tempoh pandemik Covid-19, dia sekali lagi mencipta kejayaan apabila menyertai acara dalam talian yang diiktiraf Malaysia Book of Records dengan penyertaan seramai 2,500 penari.

Walaupun kini sibuk dengan latihan industri dan tugasan universiti, namun Vieshaalaani tetap mencari ruang untuk menari pada setiap hari.

“Biasanya, saya bangun pukul 10 pagi, bantu ibu di rumah, siapkan tugasan, dan antara pukul 5 hingga 7 petang saya akan menari dalam bilik.

“Saya sememangnya tak boleh tinggal tarian ini, walaupun saya tidak ada masa untuk ke kelas kerana ia sebahagian daripada diri saya,” ujarnya.

Menurutnya, belajar Bharatanatyam memerlukan kesabaran tinggi kerana setiap gerakan mempunyai nama, teknik dan maksud tersendiri.

Ujarnya, setiap penari perlu menguasai empat aspek utama iaitu isyarat tangan (mudra), ekspresi muka (abhinaya), gerakan berirama tanpa makna naratif (nritta) dan sembilan jenis emosi utama (navarasa).

Namun, bukan semuanya mudah kerana cabaran fizikal sering dirasai terutama apabila gelang kaki tersangkut atau perhiasan berat mengganggu pergerakan di atas pentas.

“Setiap kali kelas, kami bukan sekadar menari, malah melukis pergerakan dan ekspresi dalam buku nota supaya senang dihafal. Macam kelas teori dan amali serentak.

“Pernah dua kali gelang saya tersangkut ketika persembahan. Jadi, saya cepat-cepat ubah gerak dan teruskan menari seolah-olah itu sebahagian daripada koreografi,” katanya sambil tersenyum.

Kini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik di Management and Science University (MSU) itu berada pada peringkat Selenggeh Puja iaitu satu tahap sebelum bergelar guru Bharatanatyam.

Sepanjang bergelar penari, kenangan paling manis baginya adalah ketika membuat persembahan di acara MSU My Day di hadapan Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Dia berasa terharu apabila tetamu kehormat itu meletakkan telefonnya seketika dan menonton persembahan tersebut sehingga tamat. Ia satu detik yang tidak akan dilupakan oleh Vieshaalaani.

Selepas tamat pengajian , Vieshaalaani berhasrat melanjutkan latihan tarian ke India untuk mencapai tahap tertinggi Arangetram dan bergelar tenaga pengajar.

“Kawan-kawan di akademi tarian panggil saya expression queen, jadi saya mahu mencapai tahap sehingga saya layak untuk gelaran itu.

“Paling penting, saya nak sebarkan keindahan Bharatanatyam kepada generasi muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN