KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menghantar pulang dua penjenayah buruan warga India yang dipercayai terlibat dalam insiden letupan landasan kereta api di Patiala, Punjab pada 27 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu dilakukan hari ini susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa India bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek tersebut.
Menurut beliau, operasi yang dilaksanakan JSJ Bukit Aman itu merupakan hasil kerjasama erat antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara dalam memerangi jenayah rentas sempadan.
“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah rentas sempadan di samping memperkukuh sinergi keselamatan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Kumar, tindakan tersebut juga membuktikan Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan bagi mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah. – KOSMO! ONLINE














