PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi pilihan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Kelonggaran itu ditawarkan berikutan pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang.
KPT menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu itu dibuat sebagai tanda prihatin terhadap kesejahteraan warga IPT selaras dengan nilai teras Malaysia Madani.
Susulan itu jelas KPT, setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang tempoh berkenaan untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian.
“Pelajar dan warga IPT yang terkesan turut boleh berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.
“Kemudahan ini diberi bagi memastikan kesejahteran warga IPT dan membolehkan mereka merancang pergerakan masing-masing sekali gus memastikan proses PdP dapat berjalan lancar.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor turut diberi kebenaran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah serta bekerja dari rumah sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, langkah berkenaan bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan berlangsung. – KOSMO! ONLINE














