GERIK – Tiga lelaki yang memindahkan haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Orang Kena Saman (OKS), Mohamad Khairudin Kasim, 31, dijatuhi hukuman denda RM3,000 manakala Mohamad Rizalmi Mahadi, 31, dan Mohamad Amin Hafizul Md Saidi, 35, masing-masing didenda RM4,000 dan RM5,500.
Ketiga-tiga OKS dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Pertuduhan terhadap ketiga-tiga lelaki itu dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).
Muhammad Firdaus memerintahkan agar Mohamad Khairudin dikenakan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda dan wang hasil jualan RM25,575 yang disimpan dalam akaun amanah jabatan dilucut hak kepada kerajaan.
Bagi pertuduhan membabitkan Mohamad Rizalmi dan Mohamad Amin Hafizul, mahkamah memerintahkan kedua-dua lelaki itu dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda dan wang jualan ternakan sebanyak RM32,000 dilucuthak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin dan Roba’atulaliah Mohd. – KOSMO! ONLINE