fbpx
Nora mempersoalkan tindakan penyanyi Indonesia, Rossa yang merakam semula lagu ikonik Sinaran dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa tanpa sebarang rundingan rasmi.

Siapa beri keizinan? Itu harta peninggalan anak yatim – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nora Ariffin mempersoalkan tindakan penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa yang merakam semula lagu ikonik Sinaran dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa tanpa sebarang rundingan rasmi dengan pewaris asal karya tersebut.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, lagu ciptaan Allahyarham Johan Nawawi bersama Allahyarham Adnan Abu Hassan itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan waris komposer sebelum digunakan semula dalam sebarang bentuk rakaman baharu.

“Menarik, tapi sebagai pewaris saya cuma ingin tahu, siapa sebenarnya beri keizinan untuk lagu ini?

“Saya sudah menghubungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Mereka kata bayaran dibuat kepada pihak penerbit, tetapi sehingga kini perkara itu masih tergantung tanpa penjelasan lanjut,” katanya dalam Instagram Story.

Tambah pelantun Samudera itu lagi, isu keizinan dan pembayaran royalti tidak hanya membabitkan hak cipta semata-mata, sebaliknya menyentuh kebajikan serta masa depan waris karyawan yang telah pergi.

“Ramai tidak tahu, kebanyakan komposer dan penulis lirik tidak mempunyai pencen, tiada KWSP, tiada simpanan tetap.

“Royalti itulah pencen mereka. Bila seseorang karyawan pergi, pewaris berhak mendapat bahagian itu untuk menyara anak-anak yang ditinggalkan.

“Itu bukan sekadar wang, tetapi harta peninggalan anak-anak yatim. Jangan ambil mudah dan jangan lepas tangan,” tegasnya.

Terdahulu, video teaser EP Asmara Dansa yang dimuat naik Rossa dalam media sosial baru-baru ini memperlihatkan versi baharu lagu Sinaran menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap tempatan, MK K-Clique.

Lagu tersebut pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid sekitar era 1980-an dan dianggap antara karya paling berpengaruh hasil gandingan dua nama besar dalam dunia muzik tanah air, Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan.

Sekitar Julai lalu, Nora pernah menimbulkan isu serupa apabila mendedahkan bahawa royalti lagu berkenaan masih belum diterima sepenuhnya oleh pewaris, malah mendakwa jumlah yang pernah dibayar hanya sekitar RM60.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Rossa mahupun syarikat rakamannya mengenai isu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI