Salah satu sebab kita digalakkan untuk menziarah rakan atau saudara-mara atau ahli keluarga yang sedang sakit di hospital sedikit sebanyak akan menimbulkan keinsafan kepada kita sebagai tetamu untuk mensyukuri manfaat sihat dan kecergasan badan yang dikurniakan oleh Allah.
Pengalaman mereka menjadi pejuang kepada kesakitan yang dialami membuatkan kita rasa insaf untuk cuba mengamalkan cara hidup sihat, mula bersemangat untuk memulakan aktiviti riadah apatah cuba mengawal tabiat makan yang melampaui batasan diri.
Begitu juga bagi petugas media termasuk penulis yang hadir pada satu majlis anjuran Pusat Perubatan Prince Court (Prince Court) melalui acara Press Pause: A Pink October Brunch yang memberi peluang kepada kami untuk meningkatkan ilmu terkini tentang penyakit kanser payudara dan kepentingannya untuk membuat pengesanan awal.
Selama ini, Prince Court begitu aktif dalam memperjuangkan kempen pengesanan awal kanser payudara melalui inisiatif Pink October.
Majlis ilmu itu diisi dengan pelbagai acara dan salah satunya adalah sesi bersama Presiden Pink Unity, Mahani Kassim yang menceritakan mengenai pengalaman beliau dan perjuangan ahli kumpulan tersebut yang berkongsi perjalanan hidup sepanjang proses pemulihan dan penyembuhan daripada penyakit tersebut.
Mereka sebenarnya adalah pejuang dan perwira yang memiliki semangat yang kental untuk melawan penyakit berkenaan seterusnya.
Mereka dipilih daripada ribuan pesakit untuk menjalani kehidupan kedua selepas sembuh dan peluang ini terlalu bermakna untuk meneruskan perjalanan hidup ‘baharu’ masing-masing.
Kanser payudara bukan penamat kehidupan kerana semua orang diberi peluang untuk berjuang, berdepan dengan cabaran tersebut mengikut cara masing-masing.
Bagi mereka peluang berharga itu memberi ruang untuk mereka memanfaat baki usia dengan melakukan apa yang diminati selain berbakti kepada kumpulan pesakit yang memerlukan sokongan.
Keasyikan mendengar kepetahan Mahani berucap dan bergurau tentang pengalaman beliau dan pesakit lain membuatkan tetamu memberi tumpuan sepenuhnya untuk mendengar lagi cerita menariknya yang tersurat seribu pengajaran buat mereka yang sihat.
Disokong pula dengan fakta dan penjelasan lanjut daripada pakar bedah hospital berkenaan, Dr. Harjit Kaur dan Melissa Tan membuatkan tetamu yang pulang membawa semangat untuk memperbaiki cara hidup agar lebih sihat dan membuat pemeriksaan awal.
Tiada alasan kini untuk mengelak membuat pemeriksaan awal di hospital swasta dan awam, malah kerajaan turut menawarkan pelan khusus bagi wanita berusia 40 tahun ke atas.
Ambil peluang tersebut dan tidak perlu berasa malu terhadap aset berharga wanita jika sudah menunjukkan sebarang tanda ganjil kerana mampu menyelamatkan nyawa dan kasih sayang sebuah keluarga.















