LISBON, Portugal – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kapal layar dinaiki mereka karam akibat diserang kawanan orca (paus pembunuh) di luar pantai Portugal, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kapal Ti’fare sepanjang 10.97 meter itu membawa sepasang suami isteri dan tiga kanak-kanak masing-masing berumur lapan, 10 dan 12 tahun.
Pasangan itu sempat menghantar isyarat kecemasan SOS sebelum menaiki rakit kecemasan bersama anak-anak mereka.
Tentera Udara Portugal dikerah untuk menyelamatkan mangsa selepas kapal layar mereka rosak dan mula karam akibat diserang kawanan Orca, baru-baru ini.
“Helikopter EH-101 Merlin milik Tentera Udara Portugal dihantar untuk menyelamatkan lima sekeluarga di atas kapal layar itu. Ia lebih 50 kilometer di luar pantai Peniche.
“Kapal layar itu berulang kali dirempuh kawanan orca menyebabkan air laut masuk dan tenggelam.
“Kesemua mangsa segera menaiki rakit kecemasan sebelum diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran,” kata seorang jurucakap tentera. – AGENSI