fbpx
Kebanjiran pelancog Israel mencetuskan pelbagai masalah di Koh Phangan. - Songserm

Rakyat Thai bimbang, warga Israel ambil alih perniagaan di Koh Phangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Pihak berkuasa tempatan dan pengusaha perniagaan di Koh Phangan, Thailand menyuarakan kebimbangan berhubung tingkah laku sebilangan pelancong Israel dan kebangkitan perniagaan yang dikendalikan oleh pendatang asing di pulau selatan itu, lapor akhbar Bangkok Post semalam.

Laporan mengenai ketegangan timbul di Koh Phangan dan jirannya, Koh Samui di wilayah Surat Thani, melibatkan pelancong dan pengusaha perniagaan Israel.

Tuduhan disuarakan termasuk pengambilalihan tanah melalui penama Thai dan penubuhan perniagaan khusus untuk pelawat Israel. 

Beberapa pelancong dari negara haram itu dilaporkan turut menyebabkan gangguan yang menjejaskan pengunjung lain dan pengendali tempatan, menyebabkan kebimbangan konflik yang lebih meluas.

Gabenor Surat Thani, Teeruth Supawiboonpol bertemu dengan wakil pelbagai agensi pada Khamis lalu untuk membincangkan isu yang telah dibangkitkan. 

“Kita mesti menangani isu ini dengan segera untuk mengelakkan masalah jangka panjang dan memastikan pematuhan undang-undang Thailand,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel dan Pelancongan Koh Phangan, Narumol Maisopha berkata, tingkah laku sesetengah pelancong Israel telah menyebabkan pertelingkahan yang semakin meningkat di pulau itu.

“Sebagai wakil sektor swasta, kami menyedari bahawa ini menjejaskan imej pelancongan,” katanya. 

Menurut data Bahagian Imigresen Surat Thani, 4,030 warga Israel kini berada di wilayah itu, dengan 2,548 orang di Koh Phangan, 1,279 di Koh Samui, 11 di Koh Tao dan 12 di tanah besar. 

Daripada jumlah itu, 987 adalah penduduk jangka panjang termasuk 349 orang terlibat dalam perniagaan, manakala 3,043 ialah pengunjung jangka pendek, dengan 2,942 daripadanya pelancong.

Sumber tempatan melaporkan bahawa sesetengah warga Israel di Koh Phangan mengendalikan vila, restoran, syarikat pelancongan dan perniagaan lain yang memberi keutamaan kepada pengunjung Israel. 

Pusat komunal atau Chabad, juga telah ditubuhkan untuk aktiviti keagamaan dan sosial. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI