KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih gelaran kedua pada saingan musim ini selepas memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Arctic yang berlangsung di Vantaa, Finland.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, naib juara dunia itu tidak berdepan banyak masalah menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7, 21-9.
Kemenangan itu turut menyaksikan mereka menebus kekecewaan tahun lalu di mana mereka sekadar menjadi naib juara selepas tewas 12-21, 17-21 kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah memulakan perlawanan itu dengan langkah kanan apabila mendahului set pertama 11-4 bagi meletakkan pemain lawan berada dalam tekanan.
Meskipun Iwanaga-Nakanishi cuba untuk mengejar dan merapatkan kedudukan, namun pemain negara kekal tenang dan memberikan sepenuh fokus sebelum memenangi set pertama dalam tempoh 14 minit.
Momentum itu diteruskan Pearly-Thinaah dalam set kedua apabila mereka berjaya mengekalkan aksi konsisten menerusi serangan-serangan cukup baik untuk mendahului dengan kedudukan selesa 9-2.
Pasangan Jepun seolah-olah sudah pun mengibar ‘bendera putih’ ketika menyaksikan beregu negara mendahului 11-3 sebelum melengkapkan kemenangan bergaya 21-9 bagi mendakap gelaran Jelajah Dunia Super 500 itu.
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM137,418) berserta pingat manakala Iwanaga-Nakanishi berpuas hati dengan AS$18,050 (RM76,261) dan juga pingat.
Sebagai rekod, itu menjadi gelaran kedua buat gandingan No.2 dunia itu pada musim ini selepas mereka turut memenangi kejohanan Terbuka Thailand Mei lalu. – KOSMO! ONLINE