fbpx
Antara individu yang diperiksa dalam serbuan dilakukan imigresen di sebuah kediaman mewah di Jalan P. Ramlee, baru-baru ini.

Rumah mewah jadi markas judi online, 11 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian didalangi warga China selepas menyerbu sebuah premis kediaman mewah di sekitar Jalan P. Ramlee di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang dijalankan pada pukul 3.50 petang itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil serbuan, seramai 11 individu warga China terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan awal mendapati dua daripada lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial, manakala lima lagi didapati tinggal lebih masa.

“Tiga lelaki dan seorang wanita pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya.

Tambah Zakaria, pihaknya turut merampas tujuh pasport China, komputer riba (11), telefon bimbit (tujuh), komputer (tiga) serta wang tunai sebanyak RM3,900.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan premis kediaman mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian yang menyasarkan pasaran luar negara, selain menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp bagi tujuan promosi serta komunikasi dengan pelanggan.

“Dua lelaki warga China ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, lima lelaki di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga lelaki dan seorang wanita ditahan di bawah Seksyen 6(3) akta sama,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Zakaria berkata, JIM akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti melanggar undang-undang, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara selaras dengan hasrat kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI