fbpx
MENERAPKAN tanaman segar pada kediaman dikenali sebagai konsep biofilik.

Biofilik terapi jiwa di ruang kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANORAMA ‘hutan batu’ di kota raya menyebabkan segelintir penghuni kediaman alpa untuk menghargai keindahan alam semula jadi mahupun menjadikan tumbuhan sebagai sebahagian daripada dekorasi. 

Walhal adanya tumbuhan hijau dapat memberi ketenangan dengan membawa elemen alam ke dalam ruang kediaman sekali gus memberikan kesegaran dan kedamaian. 

Pendekatan ini dikenali sebagai konsep biofilik iaitu seni reka dalaman yang menggabungkan unsur alam bagi meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi. 

Menurut pereka hiasan dalaman, Norashikin Kamaruddin, konsep biofilik bukan sekadar meletakkan tumbuhan di dalam rumah, tetapi memerlukan keseimbangan dari segi susun atur, pencahayaan serta pemilihan jenis tanaman yang sesuai.

“Ramai beranggapan biofilik hanya bermaksud rumah yang penuh dengan pokok, sedangkan yang penting ialah bagaimana alam dapat ‘bernafas’ bersama ruang kediaman.

“Keseimbangan dicapai melalui gabungan tiga elemen utama iaitu tanaman yang sesuai, pencahayaan semula jadi mencukupi dan pengudaraan yang baik,” katanya kepada CitaRasa. 

Beberapa perkara perlu diambil kira bagi mengelakkan berlaku kesilapan sehingga boleh mengakibatkan berada di sesebuah ruang yang tidak selesa atau sukar diselenggara. 

TIGA elemen yang perlu diambil kira ialah tanaman sesuai, pencahayaan dan udara.

Kata Norashikin, memilih tanaman terlalu besar sehingga menutup ruang atau menghalang laluan cahaya menjadi antara kesilapan yang kerap berlaku. 

Bagi mengelak hal itu berlaku, Norashikin kongsikan beberapa tip bagi memanfaatkan setiap ruang dengan baik dengan tanaman hijau.

“Untuk kediaman seperti pangsapuri atau rumah teres kecil, tanaman seperti snake plant, pothos atau peace lily amat sesuai kerana mudah dijaga dan tidak mengambil banyak ruang. 

“Pokok bergantung atau tanaman mini di sudut tertentu juga boleh menambahkan suasana segar tanpa menyesakkan pandangan,” katanya. 

Maksimumkan cahaya semula jadi dengan cara menggunakan langsir daripada fabrik nipis berbanding langsir berat mampu menghalang cahaya matahari daripada masuk ke ruangan. 

Cahaya bukan sahaja penting untuk tumbuhan, malah memberi tenaga positif kepada penghuni atau menggunakan spektrum khas sebagai alternatif pencahayaan. 

Bagi menyerlahkan lagi pesona semula jadi, penggunaan bahan asas seperti kayu, batu, rotan atau buluh mampu mencipta suasana nyaman.

“Selain tumbuhan, unsur biofilik boleh diterapkan melalui penggunaan material seperti batu, rotan, kayu mahupun buluh dapat memberikan keseimbangan kepada tanaman. 

“Gabungan perabot kayu dengan pasu tanah liat atau tikar mengkuang boleh mencipta keadaan berbeza ditambah pula dengan campuran warna hijau daun, coklat tanah dan beige dapat menyeimbangkan mood ruang,” katanya. 

SEBAIKNYA letakkan tanaman-tanaman berhampiran tingkap agar ia mendapat udara dan cahaya tanpa perlu kerap dialihkan.

Bagi memastikan tanaman segar, gabungan sumber cahaya matahari dengan kelembapan adalah hal yang perlu diambil kira. 

Sebagai pemilik kediaman, Norashikin menasihatkan agar dua hal penting itu tidak dianggap mudah mahupun sambil lewa. 

“Ruang dengan pengudaraan yang sempurna membantu tumbuhan kekal sihat dan mengelakkan bau lembap.

“Sebaiknya buka tingkap setiap pagi untuk memberikan aliran udara segar dan sebaiknya letakkan tanaman berhampiran tingkap agar ia mendapat udara dan cahaya tanpa perlu kerap dialihkan.

“Jika pemilik seorang yang sibuk sebaiknya pilih tanaman jenis tahan lasak dan tidak memerlukan penjagaan kerap kerana jangan jadikan tanaman sebagai beban, tetapi sebagai terapi,” ujarnya. 

Norashikin turut memberitahu, kombinasi beberapa tanaman kecil lebih mudah diurus berbanding satu tanaman besar yang sukar dijaga.

“Apabila kita membawa unsur alam ke dalam rumah, sebenarnya kita sedang membawa ketenangan kepada diri kita sendiri. 

“Konsep biofilik bukan sahaja mencantikkan kediaman, tetapi juga meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penghuni bandar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN