PETALING JAYA – Kerajaan disaran memperkasakan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sebagai badan utama bagi mengurus dan menyalurkan peruntukan besar sektor Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengagihan dana TVET dilaksanakan secara lebih cekap, pantas dan berkesan.
“Kami mengesyorkan agar PTPK diperkasakan sebagai badan utama yang menguruskan peruntukan ini.
“Dengan pengalaman luas dalam mengendalikan dana pembangunan kemahiran di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), PTPK berada pada kedudukan terbaik untuk memastikan dana sampai kepada penyedia latihan dan pelatih dengan cepat serta telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sri Ganes menjelaskan, penstrukturan semula pengurusan dana TVET amat penting bagi memaksimumkan impak peruntukan RM7.9 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026.
“Peruntukan besar ini wajar disalurkan kepada program latihan dan peningkatan kemahiran berimpak tinggi, bukan sekadar menampung perbelanjaan operasi.
“Langkah ini akan memastikan pelaburan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada kemahiran yang memberi manfaat kepada tenaga kerja muda negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik Belanjawan 2026 yang disifatkan berpandangan jauh dan berpaksikan rakyat, khususnya dalam memperkukuh agenda TVET negara.
“Belanjawan itu membuktikan komitmen jelas kerajaan dalam memperkukuh asas ekonomi negara sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Kami memuji Kerajaan Madani kerana membentangkan Belanjawan 2026 yang berpandangan jauh serta berpaksikan rakyat. Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membina asas ekonomi yang kukuh dan pada masa sama memajukan modal insan melalui TVET,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Sri Ganes turut menyambut baik fokus kerajaan terhadap bidang Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara pencipta (innovating nation), bukan sekadar pengguna teknologi.
“Peruntukan hampir RM5.9 bilion bagi aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Daya Cipta (RDCI), termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan Fakulti AI pertama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), adalah langkah strategik dan bersejarah,” katanya.
Ujar beliau, inisiatif itu mampu melahirkan generasi inovator tempatan yang dapat memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global, sekali gus membuka peluang eksport baharu bagi produk dan teknologi Buatan Malaysia.
“Kami berharap usaha ini dapat mewujudkan ekosistem inovasi yang mantap, memperkasa tenaga kerja mahir serta memacu Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE