fbpx
Dr Afandi ditemuramah media Malaysia sebaik tiba di Istanbul, Turkiye malam ini.

‘Mereka tendang, tarik rambut kami tanpa belas kasihan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA– “Kepala saya ditekan ke bawah, rambut ditarik, dan kami ditendang berulang kali. Kami terpaksa bertahan selama hampir sejam dalam keadaan sangat tidak selesa dan menyakitkan”.

Demikian luah Prof Dr Mohd Afandi Salleh, salah seorang aktivis misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang selamat tiba di Istanbul, Turkiye malam ini.

Menurutnya, ketika kejadian, askar-askar Israel langsung tidak menunjukkan sebarang rasa belas kasihan sebaliknya ketawa apabila para aktivis menjerit meminta agar seksaan itu dihentikan.

“Ada yang menjerit ‘This is torture! You can’t do this!’ tetapi mereka hanya ketawa. Seolah-olah mereka mahu menunjukkan kepada askar muda bagaimana untuk menyeksa orang yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin,” katanya dalam siaran langsung di TikTok Astro Awani.

Dr. Afandi berkata, tindakan kejam tersebut dilakukan secara terancang dan menggambarkan betapa tentera Zionis sudah diindoktrinasikan sejak kecil untuk melihat selain bangsa mereka sebagai tidak bernilai.

“Wajah mereka langsung tiada perikemanusiaan. Kering, tanpa belas kasihan. Saya percaya mereka telah dididik dari kecil bahawa selain daripada mereka adalah haiwan dan boleh dilayan sesuka hati,” katanya.

Tambahnya, selepas diseksa, mereka dibawa ke pusat tahanan Israel dan dilayan seperti penjenayah walaupun tidak berniat memasuki negara itu.

“Kami hanya mahu membawa mesej keamanan ke Gaza, tetapi dilayan seolah-olah kami ini ancaman. Ia menguatkan keyakinan saya bahawa tentera Zionis Israel adalah makhluk paling kejam di dunia,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata semangat para aktivis tidak pernah luntur biarpun berdepan kekasaran dan penghinaan.

“Seorang rakan warga Amerika berkata kepada kami, ‘Don’t show your fear to the cowards’. Jangan tunjukkan ketakutan kepada mereka yang penakut. Kata-kata itu membakar semangat kami untuk terus berdiri tanpa gentar,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku menjadi bukti nyata kekejaman rejim Zionis terhadap sesiapa yang memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Kami yakin perjuangan ini benar dan akan terus berdiri bersama dunia yang menuntut keadilan untuk Palestin,” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan bahawa kesemua sembilan warganegara Malaysia, yang mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), telah dibebaskan hari ini.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata kesemua mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921, dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 7.30 malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI