PEMAIN warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca masih positif walaupun sedang menjalani hukuman penggantungan setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) rentetan dakwaan pemalsuan dokumen.
Sebelum ini, Machuca dilaporkan berada di Malaysia untuk menguruskan tentang hukuman dikenakan oleh FIFA dan kini sudah pun kembali ke pangkuan kelabnya, Velez Sarsfield.
Pengendali Velez Sarsfield, Guillermo Barros Schelotto menjelaskan Machuca berada dalam keadaan baik dan dijangka akan tiba di Buenos Aires, hari ini.
“Dia positif tentang situasi yang sedang dihadapinya dan turut mengharapkan dia boleh dibenarkannya bermain. Di peringkat kelab, kami juga sedang menanti keputusan berkenaan daripada FIFA,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendakwa gambaran yang dibuat FIFA dalam keputusan kes dokumen palsu adalah tidak tepat dan badan induk itu kekal komited dalam urusan rayuan.
FAM menjelaskan rayuan akan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh kerajaan Malaysia dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih.
“Selagi kami tidak menerima maklumbalas daripada FIFA, kami tidak dapat menentukan langkah seterusnya,” kata Schelotto yang dipetik menerusi laporan Sabadovelezok. – KOSMO! ONLINE














