ROM – Bekas pelumba Formula Satu (F1) Itali, Riccardo Patrese menyifatkan ketiadaan ‘pakar’ teknikal menjadi punca utama kejatuhan prestasi pasukan Scuderia Ferrari yang kini bergelut untuk menyaingi Red Bull, McLaren dan Mercedes pada musim 2025.
Patrese, 71, yang pernah berlumba bersama pasukan Williams Racing, menegaskan bahawa struktur dalaman dan budaya kerja di Maranello menghalang Ferrari daripada meniru kejayaan pasukan lain yang lebih fleksibel dari segi pendekatan teknikal dan pembangunan jentera.
“Masalah di Ferrari adalah kerana mereka Ferrari. Tidak ada seorang pun di sana yang memainkan peranan seperti Adrian Newey di Red Bull atau Andrea Stella di McLaren.
“Saya tidak nampak siapa yang benar-benar menjadi ‘otak utama’ dalam pasukan Ferrari pada ketika ini,” kata Patrese.
Menurut Patrese, fokus Ferrari kini lebih tertumpu kepada projek kereta 2026, sejajar dengan pengenalan peraturan enjin dan aerodinamik baharu F1.
“Saya harap mereka sudah ada pelan jelas tentang apa yang perlu dilakukan tahun depan. Mereka perlu membina unit kuasa baharu, tetapi jangan abaikan aspek aerodinamik.
“Saya tak fikir masalah musim ini berpunca daripada enjin kerana enjin Ferrari sebenarnya setanding dengan yang lain. Masalah sebenar ialah aerodinamik dan keseimbangan casis,” katanya.
Ferrari setakat ini masih belum memenangi sebarang perlumbaan utama musim 2025, kecuali kemenangan Lewis Hamilton dalam Perlumbaan Pecut GP China, sementara Charles Leclerc sekadar mencatat beberapa podium tanpa kemenangan penuh. – AGENSI














