LONDON – Bekas pelumba F1, Martin Brundle percaya bahawa Aston Martin tidak akan mempunyai peluang untuk bangkit musim ini dan sebarang peningkatan mungkin hanya akan berlaku pada musim 2027.
Aston Martin ketika ini terperosok di kedudukan tercorot dalam kategori pengeluar selepas tiga perlumbaan awal musim ini sekali gus menjadi pencapaian terburuk mereka dalam saingan F1.
Pasukan yang berpangkalan di Silverstone itu berdepan masalah casis yang serius selain unit kuasa yang dibekalkan oleh Honda juga tidak stabil dan masih belum menemui pelarasan yang sempurna.
Sepanjang tiga perlumbaan, Fernando Alonso menjadi pelumba pertama mereka yang berjaya menamatkan perlumbaan pada Grand Prix Jepun dengan meraih kedudukan ke-18, manakala Lance Stroll gagal dalam ketiga-tiga aksi.
“Ia sangat menyakitkan, seperti menabur garam di tempat luka. Ia seperti mimpi buruk apabila mereka bukan sahaja tidak pantas, tetapi jentera mereka juga berdepan pelbagai isu sehingga menjadi sangat tidak kompetitif.
“Ketika musim sudah bermula dan peraturan F1 yang mengehadkan perbelanjaan, musim ini pastinya sukar buat Aston Martin untuk mengubah nasib mereka.
“Merek perlu membuat penilaian mengenai apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu, dapatkan orang yang betul dari Honda untuk memastikan unit kuasa mereka lebih kompetitif dan itu pastinya tidak mampu diselesaikan sepanjang musim ini,” katanya. – AGENSI














