LONDON – Formula Satu (F1) berdepan risiko kehilangan figura terbesarnya apabila juara dunia empat kali, Max Verstappen dikatakan semakin hilang minat untuk terus berlumba susulan peraturan baharu musim ini.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan apabila bekas ketua mekanik McLaren, Mark Grain menyifatkan pengunduran Verstappen sebagai kegagalan besar kepada F1 secara keseluruhan.
Menurut Grain, Verstappen ketika ini merupakan pelumba terbaik dunia dan kehilangan bintang sepertinya akan memberi tamparan hebat kepada imej sukan tersebut.
“Jika Stefano Domenicali membiarkan Max keluar daripada F1, itu satu kegagalan. Pada saya, dia adalah pelumba paling berbakat dan terpantas di dunia ketika ini,” katanya.
Verstappen sebelum ini lantang mengkritik peraturan baharu yang memaksa pelumba mengurus tenaga secara ekstrem sehingga menjejaskan pengalaman perlumbaan sebenar di litar.
Malah, pelumba Red Bull itu turut mengakui sedang mempertimbangkan masa depannya dalam F1 kerana tidak lagi menikmati perlumbaan seperti sebelum ini.
“Saya sedang memikirkan segala-galanya. Secara peribadi saya gembira, tetapi persoalannya, adakah ia berbaloi atau lebih baik saya meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan?” katanya.
Dalam masa sama, badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan pengurusan F1 kini giat mengadakan perbincangan bagi menilai semula peraturan 2026 dengan harapan dapat mengembalikan daya tarikan perlumbaan. – AGENSI














