KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang akan membantu membebaskan sembilan lagi delegasi Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut disampaikan Erdogan melalui Menteri Luar Turkiye kepada Menteri Luarx Datuk Seri Mohamad Hasan sebentar tadi.
“Sembilan masih ditahanan Israel, sahabat saya Recep Tayyip Erdogan baru beri mesei melalui Menteri Luarnya sampaikan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, Insya-Allah Turkiye akan terus bantu yang sembilan itu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keberanian Turkiye memperjuangkan nasib rakyat Palestin menjadi antara suara paling lantang di pentas antarabangsa dalam menentang kezaliman Israel yang semakin melampau.
“Abad ini belum pernah menyaksikan rakyat Gaza dihina sebegitu rupa. Walaupun suara kita kecil jika dibandingkan dengan Israel, sedikit pun tidak menimbulkan rasa takut.
“Kita bersama rakan dunia Arab dan Islam mahu penindasan ini dihentikan. Kita mahu Gaza bebas dan bantuan kemanusiaan segera sampai,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, sembilan rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Kesemua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan ‘FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali.
Sementara itu, kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.-KOSMO! ONLINE