KAHERAH – Hamas berkata hari ini bahawa kumpulan itu optimis dalam perbincangan tidak langsung dengan Israel yang bertujuan menamatkan perang di Gaza.
Menurut pegawainya, Hamas menyerahkan senarai tahanan Palestin yang mahu dibebaskan sebagai pertukaran untuk membebaskan tebusan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian.
Rundingan itu bertujuan untuk memperincikan rancangan untuk melaksanakan cadangan damai 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bulan lalu, dengan kedua-dua Israel dan Hamas telah bertindak balas secara positif.
Pelan itu memerlukan gencatan senjata, pembebasan semua tebusan, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran secara beransur-ansur tentera Israel dari Gaza.
Hari ini, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, ketua perisikan Turkiye, Ibrahim Kalin, Utusan Khas Asia Barat Trump, Steve Witkoff dan menantu beliau, Jared Kushner tiba di Sharm El-Sheikh, Mesir.
“Pengantara sedang berusaha keras untuk menghapuskan sebarang halangan kepada pelaksanaan gencatan senjata, dan semangat optimistik berlaku di kalangan semua pihak,” kata pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu kepada AFP dari Sharm El-Sheikh.
Kumpulan pejuang Palestin itu menyerahkan senarai banduan yang mahu dibebaskan dalam fasa pertama gencatan senjata mengikut kriteria dan bilangan yang dipersetujui, tambah Taher.
Sebagai pertukaran, Hamas bersedia untuk membebaskan 47 tebusan sama ada hidup atau mati, yang ditahan dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel. – AFP