fbpx
Gambar hiasan.

Tujuh episod hujan lebat di Kelantan, Terengganu musim bah ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang ketika fenomena La Nina sepanjang musim tengkujuh bermula November ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang berkata, episod hujan lebat itu dijangka berlaku pada awal November hingga Disember depan.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, keadaan itu boleh berterusan sehingga penghujung Mac tahun depan sekali gus menyebabkan tiga negeri itu terjejas banjir.

“Sabah juga dijangka terkena tempias episod hujan semasa fenomena La Nina bermula November hingga Februari tahun depan. Selain itu, Johor dan Sarawak akan mengalami situasi sama pada Januari hingga awal Mac.

“Selain itu, luruan monsun yang kuat merupakan antara faktor utama hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur sebelum keadaan tersebut beralih ke Pantai Barat Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip.

Mengulas lanjut, Nor Yahati berkaya, berdasarkan maklumat terkini model-model iklim terkemuka, perubahan fenomena El Nino kepada La Nina menyebabkan keadaan cuaca yang lebih lembap berbanding kebiasaan terutamanya di Sabah.

Menurutnya, sistem tekanan udara rendah di Laut China Selatan yang bergerak merentasi Semenanjung ke arah Pantai Barat turut menyumbang kepada cuaca hujan lebat yang berpanjangan di kebanyakan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI