SEPANG – Laungan ‘Allahuakhbar’ dan ‘Free Free Palestin’ menyambut ketibaan 27 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini sebentar tadi.
Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diiringi tangisan kegembiraan dan pelukan erat ahli keluarga serta rakan seperjuangan sukarelawan.
27 sukarelawan terbabit ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga) serta Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma).
Turut berada dalam misi itu ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius); Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Selain itu, empat aktivis yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong yang tidak akan memasuki zon merah dan selamat berlabuh di pelabuhan Paphos, Cyprus iaitu Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian, Serieffa dan Ariff Budiman.
Sebelum ini, seramai 23 aktivis Malaysia dibebaskan oleh rejim Israel pada 4 Oktober lalu selepas ditahan secara tidak sah apabila kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serta ubat-ubatan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.
Pada 2 Oktober lalu, kesemua 42 kapal yang menjalankan misi kemanusiaan ke Gaza itu dipintas zionis dengan 495 aktivis ditahan sebelum dibebaskan secara berperingkat bermula Sabtu lepas.
Misi GSF disertai kira-kira 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia yang belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim zionis. – KOSMO! ONLINE