fbpx
Mohd. Afandi menaiki kapal Conscience bagi misi pelayaan FFC x TMTG ke Gaza.

Freedom Flotilla: ‘Majoriti peserta bukan Islam, tiada pun minum arak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sukarelawan dan aktivis pelayaran Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang menaiki kapal Conscience majoriti adalah bukan Islam, namun tiada seorang pun yang minum minuman alkohol.

Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, dalam masa sama tiada seorang pun daripada sukarelawan dan aktivis bukan Islam itu melakukan perkara tidak baik sepanjang pelayaran tersebut.

“Dalam kapal Conscience di Laut Mediterranean ini majoritinya adalah bukan Islam. Namun, tiada seorang pun minum arak atau buat benda tak senonoh di atas kapal.

“Mereka amat menghormati ajaran agama lain. Bahkan menjaga laluan ketika kami sedang solat,” katanya pada hantaran Facebook berkongsi pengalaman sepanjang pelayaran tersebut.

Mohd. Afandi berkata, kesemua sukarelawan dan aktivis di situ juga sangat menjaga disiplin masing-masing.

“Mereka cukup menjaga disiplin dan tanggungjawab. Tak ada lagi yang dengan bangga mengaku ‘aku bukan Islam, jadi aku boleh minum arak’,” katanya.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi menaiki kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCare), manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI