PETALING JAYA – “Anak saya paling cantik dan suara paling sedap.”
Itu kenyataan peserta Talk To My Manager 2 (TTMM2) iaitu penerbit terkenal, Datuk A. Aida tentang anaknya Azeva.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 56, berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang pesaing terdekat mereka dalam TTMM2.
“Tak tahulah nak cakap siapa pesaing terdekat. Bagi saya anak saya paling cantik dan suara paling sedap. Seorang ibu harus yakin dengan anaknya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya lagi, tidak kisah bagaimana rupa seseorang yang paling penting adalah keyakinan diri.
“Kata-kata ini sudah seperti ‘signature’ untuk saya. Saya sentiasa puji anak saya. Dialah ‘princess’. Jadi saya tak takut dan gentar dengan peserta lain,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk menerima segala komen dan kritikan daripada barisan juri, kata A Aida, dia sentiasa terbuka.
“Saya sentiasa terbuka. Kalau boleh setiap episod saya nak juri komen persembahan anak saya. Biarpun ‘manager’ boleh ‘mute’ mikrofon juri, tetapi saya tak mahu.
“Komen-komen daripada juri penting untuk memperbaiki diri. Jika juri komen anak saya tak cukup stamina, saya akan hantar anak saya ke gimnasium, cari jurulatih kecergasan untuk tingkatkan stamina”, ujarnya.
Musim kedua ini menampilkan 10 pasangan manager dan artis antaranya Datuk Seri Vida & Cik B, Pak Azad & Amarra, Datuk Fazley & Fariedz, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Safura & Kim Khairii, Adira & Anggerik, Jamilulhayat & Hussain dan Ani Maiyuni & Viviana.
Masih mengekalkan Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai pengacara, konsert minggu pertama TTMM2 akan mula bersiaran secara langsung pukul 9 malam ini di Astro Ria. – KOSMO! ONLINE














