NEW DELHI – Seorang lelaki di India nekad membawa mayat kakaknya ke sebuah bank demi mengeluarkan wang simpanan si mati berjumlah 20,000 rupee (RM823) selepas permohonannya sebelum ini ditolak, lapor portal berita Must Share News.
Jeetu Munda, 50, ingin mengeluarkan baki wang milik mendiang Kakra Munda, 56, yang meninggal dunia pada 26 Januari lalu di cawangan Bank Grameen dalam negeri Odisha.
Jeetu berkata, dia sudah beberapa kali hadir ke bank tersebut, namun kakitangan memintanya untuk membawa pemilik akaun atau mengemukakan sijil kematian.
Sebagai orang asli yang buta huruf dan tidak berpendidikan formal, dia tidak memiliki sijil kematian atau dokumen lain.
Selepas diberitahu berulang kali untuk membawa pemilik akaun, Jeetu menggali kubur dan mengeluarkan rangka kakaknya.
Dia berjalan sejauh 3 kilometer ke bank sambil membawa rangka kakaknya yang dibungkus dengan kain.
Polis tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, manakala pihak berkuasa membantu memudahkan proses tuntutan wang tersebut.
Mayat berkenaan dikebumikan semula di tanah perkuburan dengan kehadiran pihak berkuasa. – AGENSI













