CATATAN suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius pada ketika ini membimbangkan ramai orang kerana boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan terutama strok haba.
Paling merisaukan adalah keadaan kesihatan anak-anak kecil dengan ketahanan badan masih lemah berbanding orang dewasa.
Golongan ini memerlukan penjagaan rapi daripada ibu bapa atau penjaga.
Dalam usia yang masih kecil, mereka tidak mengerti bahaya, bahkan tidak faham akan perubahan yang terjadi kepada badan akibat cuaca panas. Sehubungan itu, K-Wanita kongsikan lima langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk melindungi anak-anak ketika cuaca panas.
1. Pastikan anak kekal terhidrat
PENGAMBILAN air kosong yang mencukupi setiap hari sangat penting untuk menjaga kesihatan keseluruhan. Apatah lagi dalam keadaan cuaca panas pada ketika ini yang memerlukan lebih banyak air kosong bagi memastikan suhu badan tidak melonjak tinggi sehingga menyebabkan strok haba.
Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak minum air kosong dengan kerap, walaupun tidak berasa haus. Sediakan juga bekalan air kosong di dalam botol ketika keluar dari rumah.
Pada masa sama, elakkan pengambilan minuman bergula atau berkafein kerana boleh menyebabkan cepat haus.
2. Lindungi kulit daripada sinar matahari
MATAHARI yang terlalu terik boleh merosakkan kulit kerana cahaya mentari mengandungi sinaran ultraungu (UV) yang boleh menembusi kulit dan merosakkan sel.
Kesannya, kulit boleh terbakar (sunburn), jadi gelap, kulit jadi kering dan kasar, malah dalam kes serius boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Lebih membimbangkan, kulit kanak-kanak lebih nipis dan sensitif berbanding orang dewasa. Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa berwaspada dengan menyapukan krim pelindung matahari (sunscreen) ketika di luar rumah, lebih-lebih lagi dalam cuaca terlalu panas pada ketika ini.
Gunakan pelindung matahari sekurang-kurangnya mengandungi SPF 30. Sapukan semula setiap dua jam atau selepas berpeluh atau berenang. Pakai pakaian berlengan panjang yang ringan dan berwarna cerah. Selain itu, gunakan topi serta cermin mata hitam.

3. Elak aktiviti luar
PERANCANGAN jadual anak-anak sangat penting supaya mereka tidak berterusan terdedah di bawah cuaca panas. Ibu bapa juga perlu terangkan kepada mereka akan situasi panas ketika ini supaya anak-anak faham dan tidak meronta meminta untuk keluar rumah.
Kebiasaannya, pukul 10 pagi hingga 4 petang adalah cuaca paling panas. Jadi, elakkan melakukan aktiviti pada masa ini.
Jika perlu keluar, pastikan ada tempat berteduh dan hadkan masa bermain di luar supaya tidak terlalu lama terdedah kepada haba matahari.
4. Pastikan persekitaran sejuk dan selesa
RUMAH sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan selesa untuk berlindung ketika cuaca panas membahang. Maka, ibu bapa perlu memastikan pengudaraan di dalam rumah berada dalam keadaan baik termasuklah ketika menggunakan kipas dan pendingin hawa.
Jika cuaca masih terasa bahang, mandikan anak dengan air suhu biasa untuk menurunkan panas badan.
Cara ini juga membuatkan anak berasa lebih seronok dan tidak tertekan kerana rata-rata kanak-kanak suka bermain dengan air.

5. Perhatikan tanda-tanda masalah berkaitan haba
IBU bapa juga perlu peka melihat perubahan anak-anak akibat cuaca panas. Jangan ambil remeh atau melengahkan masa jika terdapat tanda-tanda anak berada dalam keadaan berbahaya disebabkan bahang panas.
Oleh itu, penting untuk ibu bapa menambah ilmu dengan membuat pembacaan berkaitan simpton-simpton kritikal yang berisiko terjadi kepada anak-anak ekoran cuaca panas.
Antara tanda keletihan haba adalah pening, loya, berpeluh berlebihan.
Sementara tanda strok haba pula, suhu badan tinggi, kulit kering dan keliru. Ini adalah tanda kecemasan, segera bawa anak ke tempat sejuk dan dapatkan rawatan.














