PONTIAN – Seorang wanita warga emas berusia 93 tahun mempunyai rahsia tersendiri untuk menjaga kesihatan diri selain mengakui tidak pernah berdendam terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan kepadanya.
Menurut Mariam Nor, sebagai orang Islam adalah lebih baik kita memaafkan kesalahan seseorang daripada terus menyimpan perasaan dendam walaupun perkara tersebut menyakitkan hati.
Sehingga kini, Mariam masih mempunyai ingatan yang kuat dan percakapan masih jelas walaupun usianya hampir mencapai satu abad.
Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Mohamad Bon Alias dikurniakan lapan orang cahaya mata selain mempunyai 18 cucu dan 19 cicit. Bagaimanapun, enam daripada anaknya telah meninggal dunia.
“Walaupun ramai anak telah pergi lebih awal, saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Bersyukur Allah panjangkan umur mak cik, dapat lagi menjalani ibadah puasa dan berhari raya pada tahun ini bersama menantu, Hadmah Ali, 70, yang tinggal menemani saya di rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Parit Marjunid, Benut, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mariam mengakui dia juga tidak makan sayuran moden yang banyak menggunakan racun serangga, sebaliknya lebih suka kepada sayur-sayuran tempatan yang ada di kawasan kampung.
“Antaranya seperti sayur meranti dan juga biji meranti, paku pakis, daun pucuk ubi selain mengamalkan makan ulam-ulaman dan kurang mengambil ikan dan daging,” katanya.
Katanya, amalan lain yang dilakukan ialah kerap sembahyang malam seperti sembahyang tahajjud, berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis serta banyak meminum air kosong ketika waktu makan.
“Mak cik mudah ketawa dan mudah mesra dengan orang lain, walaupun tidak mengenali dengan lebih dekat, kerana mungkin telah menjadi kebiasaan sejak zaman muda lagi.
“Sewaktu muda dulu, saya berjalan kaki kira-kira 8 kilometer setiap hari untuk pergi menoreh pokok getah di dua lokasi kebun yang berlainan sebagai sumber pendapatan keluarga,” jelas Mariam.
Sementara itu, anak Mariam, Maznah Mohammad Bon berkata, dia bersyukur emaknya masih diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan dapat melakukan ibadah puasa lagi.
“Semoga emak terus diberikan kesihatan yang baik, dapat bersama cucu dan cicit walaupun ramai adik beradik saya telah tiada,” katanya.














