fbpx
KEADAAN penginapan pekerja warga asing di lokasi pembinaan di Brinchang, Cameron Highlands yang didapati kotor dan sempit ketika serbuan dijalankan melalui Operasi Bersepadu Pasukan Khas Penguatkuasa JTKSM hari ini.

Penginapan pekerja kotor, daif diserbu di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CAMERON HIGHLANDS – Keadaan bilik sempit, kotor dan daif. Itu gambaran penginapan pekerja warga asing yang ditemui dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di kawasan Brinchang, Cameron Highlands, di sini hari ini.

Lokasi berkenaan merupakan satu daripada sembilan premis yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pasukan Khas Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sekitar kawasan tanah tinggi itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Betty Hasan berkata, berdasarkan pemeriksaan, penginapan yang disediakan majikan untuk pekerja warga asing tidak kondusif, bercampur jantina serta gagal menyediakan kemudahan asas yang sepatutnya.

Malah katanya, semakan mendapati kesemua premis yang diperiksa itu tidak mempunyai perakuan penginapan sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

“Jika lihat keadaan penginapan pekerja tadi, sudah tentu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tidak akan meluluskan perakuan kerana keadaan yang daif serta tidak mencukupi syarat dari segi kelengkapan dan keselamatan pekerja.

“Kemudahan asas juga jelas tidak diberi perhatian oleh majikan. Hal-hal seperti ini yang perlu dipastikan pematuhannya agar kebajikan pekerja sentiasa terpelihara tanpa mengira sama ada mereka pekerja tempatan atau pekerja asing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, bagi kesalahan itu, majikan juga didapati membayar gaji secara tunai, gagal memberi notis perniagaan kepada JTK, tiada kontrak kerja dan penyata gaji serta bayaran gaji tidak mengikut Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024.

“Menerusi serbuan ini, sebanyak 28 kertas siasatan dibuka bagi tindakan kompaun dan pendakwaan selaras dengan akta-akta berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI