PETALING JAYA – Isteri kepada salah seorang peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Mohd Zulfadhli Khiruddin iaitu Yatt Hamzah menegaskan sukarelawan yang ditahan tentera Israel dipaksa minum air paip, bukannya air di dalam mangkuk tandas.
Menerusi perkongsian hantaran di Instagram, Yatt yang juga seorang selebriti berkata, orang ramai diingatkan tidak menokok tambah setiap isu yang berlaku sehingga menimbulkan salah faham.
“Yang dimaksudkan oleh peserta misi GSF bukanlah minum air daripada mangkuk jamban, tapi air paip dalam tandas.
“Kita semua sedia maklum Israel memang kejam dan zalim, tapi tidak perlu menambah cerita semata-mata nak tunjuk mereka (Israel) jahat. Kita tak perlukan viral murahan sebegini,” katanya.
Menurut Yatt, penjelasan setiap perkara yang berlaku perlu menunggu kepulangan peserta misi GSF kerana banyak lagi isu yang telah ditokok tambah oleh netizen tanpa sedar.
“Perjuangan kita untuk Palestin adalah sebarkan kebenaran, bukan untuk menyebar fitnah,” katanya.
Untuk rekod, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza ditahan rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pendakwah bebas dan peserta GSF, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan turut diperlakukan secara kasar oleh tentera Israel. -KOSMO! ONLINE