PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas tempoh rayuan 10 hari yang diberikan FIFA berakhir hari ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihak FAM selaku badan induk dan barisan peguam sudah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sebaik menerima penghakiman penuh bagi membuat rayuan kepada FIFA.
“Proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan itu diterima secara rasmi.
“Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.
“Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, pada 26 September lepas, FIFA telah menghukum tujuh pemain warisan negara iaitu Facundo Garces, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.
Kesemua pemain terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) dan dihukum gantung 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak selain denda CHF2,000 (sekitar RM10,000). – KOSMO! ONLINE