GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Jeli dekat Kampung Kala di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Abdul Ahman Daud, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki selepas melambung sebelum terjatuh di bahu kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gua Musang.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa melambung sebelum jatuh di bahu kiri jalan menghala ke Jeli. Kereta tersebut kemudian terbabas dan merempuh sebuah rumah di tepi jalan menghala ke Gua Musang.
“Pemandu kereta itu dipercayai memasuki laluan bertentangan selepas tidak nampak keadaan jalan yang berkabus,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen (41) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE