SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengumumkan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi membiayai sepenuhnya penaiktarafan Latar Siswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, sumbangan itu diberikan selepas mengetahui tujuan majlis Malam Kilauan Mutiara FBMK yang diadakan sempena sambutan tiga dekad penubuhan fakulti tersebut adalah untuk mengutip dana bagi menaik taraf kemudahan berkenaan.
“Saya menawarkan diri untuk membiayai sepenuhnya pembinaan tersebut sebanyak RM200,000,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, malam ini.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap peranan persatuan itu dalam mengukuhkan jaringan alumni universiti.
Tidak ketinggalan, anak beliau, Nurul turut menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Chapter Alumni FBMK sebagai galakan kepada generasi muda agar terus menyumbang kembali kepada alma mater.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menyifatkan FBMK sebagai lubuk ilmu dan benteng jati diri yang melahirkan ramai tokoh terkemuka dalam bidang akademik, politik, perniagaan dan dunia kreatif.
“Bahasa itu jiwa bangsa, komunikasi itu jambatan peradaban. Semoga mutiara ilmu ini terus berkilau untuk generasi akan datang.
“UPM bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi medan membina semangat, disiplin dan komitmen. Di sini, tiada pengecualian semua tertakluk pada prinsip kualiti akademik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.