TEL AVIV – Semua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa malam kelmarin dijangka dipindahkan ke penjara yang terkenal dengan penyeksaan, lapor portal berita Radio Zapatista semalam.
Penjara Ketziot yang terletak di Gurun Negev itu sudah lama menjadi lokasi berlakunya penderaan berulang terhadap tahanan Palestin.
Pada 2021, rakaman video muncul menunjukkan berpuluh-puluh warga Palestin diikat dan dihumban ke tanah manakala pengawal-pengawal Israel menendang dan menumbuk mereka secara bergilir-gilir.
Pada 2023, seorang tahanan Palestin berusia 38 tahun dipukul hingga mati oleh sekumpulan pengawal yang memakai topi keledar untuk menyembunyikan wajah mereka.
Thaer Abu Asab dilaporkan menerima pukulan begitu kuat sehingga ‘kepingan’ tengkoraknya jatuh ke lantai dan darah memenuhi lantai bilik, demikian menurut saudara kandung lelakinya.
Seramai 19 pengawal disiasat, namun tiada seorang pun didakwa.
Lima pengawal hanya dipindahkan ke unit lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Media Novara menyatakan kebimbangan khusus terhadap keselamatan wartawannya, @Kieran_Andrieu.
Dia ialah wartawan Britain berketurunan Palestin yang mempunyai enam adik-beradik tinggal di Tebing Barat.
Media Novara bimbang kesihatan dan nyawanya berada dalam bahaya jika peserta flotila dipindahkan ke Penjara Ketziot.
Menurut agensi berita AFP, lebih 400 aktivis pro-Palestin yang menaiki 41 kapal GSF telah ditahan oleh pasukan tentera laut Israel.
Seramai 23 rakyat Malaysia menyertai flotila itu turut ditahan.
Mereka dijangka ditahan beberapa hari disebabkan cuti perayaan Yahudi, Yom Kippur, bermakna Israel tidak akan memulakan pengusiran sehingga Isnin atau Selasa ini. – AGENSI/AFP