PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pendirian tegas menyokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman negara, susulan insiden kekecohan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lebih 50 peserta menyertai perhimpunan aman namun keadaan bertukar tegang apabila ada cubaan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak.
Ekoran itu, seorang anggota polis cedera ketika bertugas, manakala dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“KDN mengiktiraf hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan, tetapi ia mesti dilakukan secara tertib, berhemah dan tidak menjejaskan keselamatan awam atau mengganggu tugas penguat kuasa,” kata KDN dalam kenyataan.
Menurut KDN, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas PDRM yang berlandaskan undang-undang serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ancaman keselamatan.
Pada masa sama, KDN menyeru semua pihak mematuhi peraturan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara aman.
Sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE