PETALING JAYA – Persoalan mengenai apa yang bakal dihadapi rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel selepas kapal mereka dipintas tentera rejim Zionis terus menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan banyak pihak.
Berkongsi pengalaman sama, Penolong Editor Berita TV3, Halim Mohamed berceritakan tentang kisahnya menaiki kapal kapal kargo Rachel Corrie pada Jun 2010.
Beliau yang pada ketika itu bertugas sebagai seorang wartawan merupakan salah seorang peserta yang mengikuti misi ke Gaza membawa muatan simen, ubat-ubatan, makanan dan pakaian.
Katanya, prosedur yang lazimnya dilakukan pasukan pertahanan Israel terhadap sukarelawan antarabangsa adalah menggodam sistem radar dan komunikasi kapal.
“Apabila arahan untuk berpatah balik tidak diendahkan, kapal perang akan menghampiri dan bot komando bersenjata lengkap naik ke kapal bagi mengarahkan semua sukarelawan menyerah diri.
“Kami tidak melawan kerana misi jelas adalah menghantar bantuan kemanusiaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Halim berkata, selepas kapal ditunda ke Pelabuhan Ashdod, kesemua sukarelawan diserahkan kepada imigresen Israel untuk soal siasat intensif.
“Tiada kekerasan fizikal, tetapi mereka tegas, nada suara tinggi dan mempunyai segala maklumat peribadi tentang kami.
“Soal siasat dibuat secara individu, malah ada desakan untuk menandatangani dokumen dalam bahasa mereka, mujurlah kami enggan menurunkannya,” katanya.
Katanya, aktivis dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel biasanya mendapat pembelaan awal daripada diplomat negara masing-masing, bahkan ada yang dibebaskan keesokan harinya.
Keadaan jauh berbeza bagi rakyat Malaysia kerana ketiadaan hubungan rasmi dengan Israel sekali gus menyebabkan mereka dibawa ke pusat tahanan, ditempatkan dalam sel berasingan, dan terus disoal siasat beberapa hari.
“Kami bernasib baik apabila akhirnya dibantu pegawai kedutaan negara jiran ASEAN yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Atas semangat serantau, mereka memaklumkan apa yang perlu kami lakukan dan akhirnya kami dilepaskan,” katanya.
Selepas beberapa hari ditahan, Halim berkata, sukarelawan Malaysia dibawa dengan kawalan ketat tentera Israel ke sempadan Jordan, sebelum diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Amman.
“Perasaan lega bercampur sebak apabila akhirnya bertemu pegawai kedutaan serta wartawan tanah air yang menunggu kami di King Hussein Border Crossing. Ia saat yang tidak akan dilupakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














