LONDON – Crystal Palace terus mencipta fenomena tersendiri apabila kemenangan sensasi menundukkan juara bertahan Liverpool hujung minggu lalu melengkapkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.
Sorakan “We’re gonna win the league” kedengaran dengan nada sinis di Selhurst Park, namun aura luar biasa The Eagles sukar dinafikan selepas melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus kekal satu-satunya pasukan yang belum tewas musim ini.
Ia disulami kejayaan menjulang Piala FA sekali gus menandakan era baharu buat kelab dari selatan London itu dan Palace juga membuat penampilan sulung di pentas Eropah menentang Dynamo Kyiv dalam saingan Liga Konferens Europa awal pagi tadi.
Rahsia kebangkitan mereka berpunca daripada sentuhan pengurus, Oliver Glasner yang merombak identiti taktikal pasukan dengan pendekatan unik berasaskan ‘midblock’ dan serangan balas pantas.
“Palace mempunyai gaya permainan tersendiri. Mereka jarang menekan tinggi tetapi menunggu saat sesuai untuk merampas bola di kawasan tengah sebelum melancarkan serangan pantas.
“Ia menjadikan mereka kukuh di benteng dan berbahaya ketika transisi,” kata penganalisis bola sepak, Alex Keble.
Statistik turut membuktikan keberkesanan sistem Glasner selepas Palace hanya mencatat purata 39.9 peratus penguasaan bola iaitu kedua terendah liga tetapi memiliki kelajuan transisi terpantas di EPL dengan hanya 2.11 saat untuk melancarkan serangan selepas merampas bola.
Lebih separuh masa permainan mereka dihabiskan dalam midblock (61.9 peratus), manakala hanya Burnley merekodkan penguasaan bola lebih rendah, namun keberkesanan taktikal itu membolehkan Palace mengatasi sembilan daripada 18 lawan dalam kalangan ‘Big Six’ di EPL.
“Pendekatan ini nampak ringkas, tetapi sebenarnya sangat sukar. Ia perlukan disiplin, penyusunan terperinci dan kefahaman taktikal yang jarang dimiliki jurulatih lain di Eropah,” tambah Keble. – AGENSI