JAKARTA – Pasukan penyelamat menyatakan bahawa ‘tiada lagi tanda-tanda mangsa masih hidup’ di bawah runtuhan selepas sebuah sekolah pondok di Indonesia runtuh, kata seorang pegawai hari ini.
Setakat ini, seramai 59 mangsa dipercayai masih hilang beberapa hari selepas tragedi berlaku, menimbulkan kebimbangan bahawa tiada lagi mangsa terselamat akan ditemui.
Sebahagian daripada sekolah pondok berasrama berbilang tingkat di Pulau Jawa itu tiba-tiba runtuh pada Isnin lepas ketika pelajar berkumpul untuk solat Asar.
Selepas beberapa hari operasi menyelamat, 59 orang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan selepas sekurang-kurangnya lima orang disahkan meninggal dunia.
“Kami menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti dron termal dan secara saintifik, (kami boleh menyatakan bahawa) tiada lagi tanda-tanda kehidupan,” kata ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB), Suharyanto.
Keluarga-keluarga mangsa yang sedih dan menangis menunggu dengan cemas berhampiran tapak kejadian untuk berita tentang orang tersayang mereka. Penduduk berhampiran sekolah menawarkan keluarga -keluarga tersebut untuk tinggal di rumah mereka sementara menunggu, demikian menurut koresponden AFP.
“Saya sudah berada di sini sejak hari pertama. Saya berharap untuk berita terbaik, bahawa adik saya selamat. Saya masih berharap,” kata Maulana Bayu Rizky Pratama yang mana adik lelakinya yang berusia 17 tahun hilang.
“Sudah empat hari, saya berharap adik saya akan ditemui tidak lama lagi. Saya sedih memikirkan dia berada di bawah sana selama empat hari,” tambah pemuda berusia 28 tahun itu.
Pasukan penyelamat mengeluarkan lima mangsa masih hidup dari bawah runtuhan semalam ketika ibu bapa yang panik menuntut mereka mempercepatkan usaha mengeluarkan puluhan kanak-kanak yang dipercayai masih terperangkap.
Abdul Hanan yang mana anaknya berumur 14 tahun hilang berkata, kanak-kanak di bawah runtuhan menangis meminta pertolongan.
“Operasi menyelamat mesti dipercepatkan,” katanya.
Siasatan mengenai insiden di bandar Sidoarjo itu sedang dijalankan tetapi tanda-tanda awal menunjukkan pembinaan dilakukan tidak mengikut piawaian, kata beberapa pakar. – AFP