fbpx
MUHAMAD KHAIRUL AZRI dipenjara 11 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah merompak dua remaja di Batu Pahat, bulan lalu.

Operator kilang dipenjara 11 tahun rompak dua remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Perbuatan jahat seorang operator kilang melakukan rompakan ke atas dua remaja bulan lalu mengundang padah apabila dia terpaksa meringkuk dalam penjara 11 tahun dan empat sebatan.

Hukuman itu dihadapi tertuduh, Muhamad Khairul Azri Mashudi, 31, selepas Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh mengambil kira pengakuan dibuat, rayuan serta hujahan pemberatan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga duda didakwa merompak beg sandang milik pelajar perempuan berusia 17 tahun yang mengandungi buku teks, dua telefon bimbit di tepi Jalan Parit Sempadan, Parit Raja, pada pukul 1 tengah hari, 17 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merompak beg remaja perempuan berusia 19 tahun yang mengandungi telefon bimbit, kad pengenalan dan kad ATM di Batu 57, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat sini, pada pukul 6.30 petang, 20 September lalu.

Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghampiri kedua-dua mangsa yang ketika menunggang motosikal sebelum melarikan beg yang diletakkan dalam raga.

Mangsa yang trauma akibat kejadian itu kemudian membuat laporan polis. Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya menahan tertuduh pada 21 September di sebuah rumah di Parit Raja.

Hasil soal siasat membawa kepada penemuan barangan mangsa yang dirompak termasuk telefon bimbit yang sudah dijual. Selain itu, tertuduh juga menunjukan barangan kes yang disembunyikan di celah pokok sawit.

Kawad cam dilakukan juga dengan kedua-dua mangsa mengesahkan tertuduh adalah individu yang terbabit dalam kejadian itu berdasarkan fizikal serta pakaian dipakai.

Selain itu, polis mendapati tertuduh menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu ketika melakukan jenayah terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan manakala pertuduhan kedua, enam tahun dan tiga sebatan dengan kesemua hukuman itu dijalankan secara berasingan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI