fbpx
Radius kawasan pencarian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Izzati diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi hari ini.

‘Minta maaf Izzati, kami dah cuba komunikasi dengan alam sana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Minta maaf Izzati (kak ngah), Abang Mal dan pasukan dah cuba masuk berkomunikasi dengan alam sana.”

Demikian luahan yang dikongsikan sepupu kepada Nur Izzati Humaira Azizul, 19, menerusi status terkini di WhatsApp dan tangkap layar hantaran itu dimuat naik semula oleh sahabat remaja tersebut di Threads menggunakan akaun @nrinn_.rsly.

Menurut perkongsian sepupu Nur Izzati, dia memaklumkan pihak keluarga bersama beberapa individu lain sudah berusaha sedaya upaya untuk mengesan keberadaan remaja itu yang dipercayai sesat ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa di Tanjung Malim, Perak sejak Sabtu lalu.

“Dah cuba mencari sedaya upaya dari pukul 11.50 pagi hingga 2.38 petang, tapi makhluk itu (macam) mempermainkan kami.

“Minta maaf kak ngah, bertahan sikit lagi. Kami akan bawa balik ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, sepupu mangsa turut menitipkan kata-kata semangat kepada Nur Izzati yang dipercayai berada dalam keadaan ketakutan dan kesedihan ketika ini.

“Kuatkan semangat. Tahu kak ngah sedih menangis, tapi tak boleh buat apa, mereka cuba nak bermain-main. Bertahan kak ngah, kak ngah kuat,” katanya.

Malah, ahli keluarga mangsa turut meminta bantuan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan yang melalui kawasan Changkat Asa, Tanjung Malim supaya membunyikan hon kenderaan ketika melalui kawasan berbukit di lokasi tersebut.

Menurut mereka, bunyi hon dipercayai dapat membantu mangsa mencari arah keluar sekiranya masih berada di kawasan berkenaan.

“Sesiapa yang lalu Changkat Asa, Tanjung Malim melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, kalau boleh bila melepasi bukit bunyikan hon. Kadang-kadang bunyi sangat membantu untuk cari jalan keluar. Semoga dipermudahkan pencarian kak ngah,” katanya.

Sementara itu, Kosmo! sebelum ini melaporkan radius kawasan pencarian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Izzati diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi hari ini.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Azliza Ahmad dilaporkan berkata, pasukan SAR menggunakan teknik sweeping dengan tumpuan pencarian setakat tengah hari tadi di kawasan timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Azliza berkata, operasi SAR turut dibantu tiga anjing pengesan iaitu dua daripada JBPM dan satu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menggunakan khidmat dron daripada Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor.

“Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan dan pasukan SAR hanya menggunakan maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga mangsa dalam usaha pencarian ini,” jelasnya.

Terdahulu, Nur Izzati dipercayai sesat selepas terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya ketika menuruni Bukit Changkat Asa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN