fbpx
TANGKAP layar video Mohd. Fakhrul ketika melaungkan azan sebaik menemui jasad Nur Izzati kelmarin.

‘Saya sempat berdoa, alun azan sebaik lihat mayat Izzati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kematian seorang remaja, Nur Izzati Humaira, 19, ketika menyertai aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor kelmarin bukan hanya meninggalkan kesedihan kepada seluruh keluarga, malah turut dirasai oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Anggota Pasukan Khas STORM Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkata, dia menjadi antara individu terawal yang menemui jasad mangsa selepas tiga hari remaja itu dilaporkan hilang.

Beliau berkata, pasukan SAR sebelum itu telah melakukan pencarian di sekitar laluan denai asal termasuk melibatkan unit K9, anggota bomba serta pasukan bantuan awam.

Bagaimanapun katanya, dia tergerak hati untuk mengubah sedikit radius pencarian dengan bergerak lebih jauh ke kawasan dalam hutan.

“Mangsa masih ada di sekitar kawasan itu, tapi tidak tahu di mana dia berada. Saya cuba fikir kalau pendaki kurang pengalaman sesat, apa tindakan dia akan buat. Jadi saya cuba anjakkan pencarian ke kawasan lain sedikit daripada laluan asal.

“Lokasi mangsa ditemui sememangnya agak terkeluar sikit, di luar laluan trek denai asal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

PASUKAN penyelamat membawa jasad Nur Izzati yang ditemukan kelmarin selepas tiga hari hilang ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.

Menurut Mohd Fakhrul, apabila pencarian diluaskan, dia dan beberapa anggota lain menemui kesan-kesan jejak dan apabila angin meniup kuat, mereka akhirnya terhidu bau mayat.

“Kemudian kami kekal di posisi masing-masing sebelum bergerak secara berperingkat dari satu seksyen ke satu seksyen lain sehingga mangsa ditemui.

“Sejurus kami menjumpai mangsa, saya sempat berdoa untuk arwah dan mengalunkan azan,” katanya.

Tambah beliau, suasana ketika itu amat menyayat hati selain sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Ketika itu suasana agak pilu dan sebak terasa di dada. Kami segera memaklumkan kepada Pos Kawalan dan meminta bantuan untuk membawa mangsa keluar.

“Dalam masa sama, di Pos Kawalan sedang berlangsung bacaan Yasin untuk mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan mayat sempurna dan tiada tanda kewujudan haiwan liar atau faktor luaran lain dikenal pasti di kawasan tersebut.

Menurutnya yang mempunyai 30 tahun pengalaman mendaki, kawasan pencarian sebenarnya tidak terlalu mencabar kerana berada di bukit rendah dan berhampiran penempatan penduduk, lebuh raya, kawasan perumahan serta landasan kereta api.

“Bukit Changkat Asa adalah kawasan kecil dan rendah. Di sekitarnya ada penempatan, ada lebuh raya, ada perumahan dan ada kereta api. Dia bukannya seperti hutan tebal atau hutan dalam.

Azizul dan anaknya menyiramkan air ke pusara Nur Izzati (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di Sungkai malam kelmarin. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Sementara itu, Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia, Muzafar Mohamad berkata, kawasan berpaya serta kebun getah terbiar di Bukit Changkat Asa menjadi antara cabaran utama sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan keberadaan Nur Izzati.

Menurutnya, ‘golden hours’ atau fasa paling kritikal dalam kes orang hilang adalah tempoh 24 jam pertama kerana jejak masih segar dan maklumat saksi masih jelas.

“Kami dihidangkan dengan trek mendaki, lubang-lubang rekahan tanah, kawasan berpaya dan kebun getah terbiar yang menyukarkan pergerakan dan operasi pencarian,” katanya.

Menurutnya, petunjuk awal kes yang ringkas kerana jarak lokasi kehilangan dengan kali terakhir mangsa dilihat sekitar 500 meter, menyebabkan ramai pada awalnya menganggap ia sebagai kes yang mudah.

Kata beliau, pasukan SAR tidak menolak dan melihat semua bantuan luar termasuk kaedah alternatif sebagai usaha murni masyarakat.

“Bagaimanapun keadaan menjadi riuh sedikit apabila orang ramai yang membuat ‘live’ (siaran langsung) di lokasi semasa operasi yang menyebabkan ia seolah-olah pilihan utama pasukan SAR,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN