KEMAMAN – Pelumba muda skuad kebangsaan, Kee Zhe Yie meraih pengalaman berharga ketika mengharungi aksi peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) semasa merentasi Banjaran Titiwangsa dari Gerik ke Pasir Puteh semalam.
Biarpun tidak dapat mengutip sebarang mata di zon pendakian selain menamatkan saingan di kedudukan ke-51, namun ia mampu membantu pelumba berusia 22 tahun itu menghadapi aksi peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser esok.
Merangkumi tiga zon pecutan dan dua zon pendakian, Zhe Yie menganggap perlumbaan peringkat keempat lebih sukar apabila mengambil kira laluan sempit ketika aksi pendakian menuju ke Bukit Fraser.
“Mengenai perlumbaan ke Bukit Fraser nanti, tidak tahu bagaimana kerana memang tidak sama dengan laluan di Gerik. Di Bukit Fraser, laluan dia agak kecil, jadi memang susah juga untuk masuk dan bersaing.
“Bagaimanapun, saya akan cuba sahaja, lebih-lebih lagi saya tidak pernah berkayuh naik ke Bukit Fraser. Nak lawan dengan pelumba luar memang boleh tetapi susah juga untuk dapatkan kemenangan,” katanya.
Setakat ini, pelumba kelahiran Terengganu itu masih kempunan untuk mempamerkan kemampuan sebenar apabila pencapaian terbaiknya adalah ketika menamatkan perlumbaan dari gerik ke Pasir Puteh di tempat ke-51.
Sementara itu, Zhe Yie mengakui dia berdepan kesukaran pada perlumbaan merentasi Banjaran Titiwangsa semalam, terutamanya terpaksa mengharungi tiga zon pendakian berturut-turut pada 65 kilometer (km) pertama.
“Pada perlumbaan di Gerik, saya hanya cuma bertahan untuk berada dalam kelompok hadapan walaupun (perlumbaan) tidak laju sangat. Saya sasar nak jadi pelumba terbaik Malaysia untuk peringkat itu tapi ada kesilapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE