KUALA TERENGGANU – Semua stesen minyak di Terengganu bersedia sepenuhnya melaksanakan penggunaan sistem subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani (Budi95) dengan tiada sebarang aduan pengguna diterima sejak pelaksanaannya kelmarin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, semua terminal pengesahan MyKad yang terdapat di pam minyak juga didapati berfungsi dengan baik.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna. Semua stesen minyak di negeri ini juga dilihat telah melakukan persiapan awal bagi memastikan pelancaran Budi95 berjalan lancar.
“KPDN bersama pihak stesen minyak juga telah menempatkan kakitangan bagi memberi penerangan secara terus kepada pengguna,” katanya selepas membuat tinjauan di sebuah stesen minyak di Petron Kubang Ikan, Chendering, di sini hari ini.
Mohd. Mufsi mengakui segelintir pengguna terkeliru apabila paparan harga di pam minyak masih menunjukkan kadar runcit RM2.60 bagi RON95.
Begitupun, beliau berkata, kebanyakan pengguna terlibat telah dijelaskan mereka hanya perlu membayar RM1.99 seliter manakala bakinya telah disubsidi kerajaan.
“Pengguna dalam kalangan pemain industri pengangkutan awam darat pula memperoleh kadar subsidi dengan harga RM2.05 seliter,” katanya. – KOSMO! ONLINE