KUALA LUMPUR – Wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Wang yang dilucut hak itu ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350; USD$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut wang tunai itu selain tiada pihak ketiga berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucut hak harta tersebut.
“Memandangan pihak-pihak responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan pemohon ini, yang mana mahkamah telah merekodkan pada tarikh sebelum ini (8 September). Mahkamah juga mendapati tiada sebarang tuntutan dibuat oleh pihak ketiga terhadap harta-harta ini.
“Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan pemohon untuk harta-harta yang disenaraikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009,” kata Hakim Suzana yang sebelum ini mengeluarkan warta pihak ketiga terbabit mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.
Warta pihak ketiga merujuk kepada proses yang mana mahkamah mewartakan notis memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.
Pada 8 September lalu, mahkamah diberitahu bahawa Ismail dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus yang kedua-duanya dinamakan sebagai responden tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai tersebut yang disita SPRM.
Ini berikutan, selepas kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.
Terdahulu semasa prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata semasa sebutan kes sebelum ini mahkamah telah merekodkan kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) tidak berhasrat untuk mencabar permohonan itu.
Prosiding itu turut dihadiri peguam K.Ragunath dan Joshua Tay mewakili Ismail Sabri dan Mohammad Anuar.
Sebelum ini, SPRM memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang berkenaan yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Pada 3 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media berkata, agensi antirasuah itu akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan harta yang dirampas berjumlah RM170 juta.
Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas. – KOSMO! ONLINE