SUNGAI PETANI – Seorang pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki hingga cedera parah dalam kejadian di Flat Paya Nahu, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, A. Suriavarman, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nassri Abdullah, 36, menggunakan parang di bawah Flat Paya Nahu 2 kira-kira pukul 3.55 petang, 21 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi terutama mangsa selain melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menjaga bapanya yang sakit.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi, selain melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Hakim menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan mangsa.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki cedera di kaki dan tangan selepas ditetak seorang individu tidak dikenali ketika menunggu abangnya di kawasan flat berkenaan. – KOSMO! ONLINE