fbpx
Kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang berlaku pada 27 September lalu.

Nahas Bukit Kajang: 7 saksi dirakam keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis sudah merakam keterangan tujuh saksi berhubung nahas lori yang mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh mangsa dalam insiden di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tindakan lanjut terhadap majikan pemandu lori terbabit juga sedang diteliti bersama agensi berkaitan.

“Setakat ini, dua mangsa yang parah iaitu kakitangan Jabatan Kerja Raya, seorang daripadanya dipindahkan ke Hospital Putrajaya manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Kajang.

“Seorang penumpang Proton X70 pula telah dibenarkan keluar dari Hospital KPJ pada semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pemeriksaan menyeluruh lori berkenaan akan dilakukan oleh Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer pada Khamis ini bagi mengenal pasti punca sebenar nahas termasuk dakwaan kegagalan brek.

Mengulas mengenai status pemandu lori, beliau berkata reman suspek akan tamat esok.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu semua laporan dan analisis diterima,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan pemandu lori berkenaan mengaku melompat keluar dari kenderaan berat itu yang didakwa mengalami masalah brek sebelum merempuh beberapa kenderaan lain di plaza tol tersebut.

Insiden tragik itu mengorbankan seorang bayi manakala tujuh lagi mangsa cedera.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI