WASHINGTON – Presiden Donald Trump akan berucap lewat hari ini pada perhimpunan jarang berlaku melibatkan beratus-ratus pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS) yang dipanggil dari seluruh dunia untuk bertemu di sebuah pangkalan dekat Washington.
Tiada sebab rasmi dinyatakan untuk mesyuarat sangat luar biasa itu yang diadakan di Quantico.
Perkembangan itu berlaku ketika tentera AS berdepan kontroversi di dalam dan luar negara, selepas Trump mengerahkan tentera di dua bandar AS yang ditadbir oleh Parti Demokrat dan mengarahkan serangan berdarah ke atas bot didakwa membawa dadah di Laut Caribbean.
Trump juga mengarahkan serangan ke atas tapak nuklear Iran dan pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Panduan akhbar harian White House menyenaraikan pemimpin Republikan berusia 79 tahun itu akan menyampaikan ‘ucapan kepada Jabatan Perang’ pada pukul 9.00 pagi (9 malam waktu Malaysia).
Trump memuji mesyuarat itu apabila ditanya mengenainya minggu lalu.
“Saya sukakannya. Maksud saya, saya rasa ia hebat.
“Biarkan beliau berkenalan dengan jeneral dan laksamana dari seluruh dunia,” katanya, merujuk kepada ketua Pentagon Pete Hegseth yang menganjurkan acara itu dan akan turut berucap di Quantico.
Pentagon tidak memberikan penjelasan untuk sesi itu, dengan jurucakapnya, Sean Parnell hanya berkata dalam satu kenyataan bahawa Hegseth ‘akan berucap kepada pemimpin kanan tentera awal minggu depan’. – AFP