fbpx
Yeo bersama Pengarah Eksekuti Kewangan syarikat itu, Salihudin Mohd Razali pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan di Kuala Lumpur hari ini.

Elridge Energy catat untung bersih RM57.31 juta, dipacu pasaran serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar bahan api biomassa, Elridge Energy Holdings Berhad (Elrigde Energy) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM57.31 juta bagi tahun kewangan berakhir (FY2025) pada 31 Disember 2025.

Angka keuntungan syarikat pengeluar bahan api berasaskan tempurung isirung sawit (PKS) dan pelet kayu itu meningkat 39.2 peratus berbanding RM41.17 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu dicapai seiring peningkatan hasil kepada RM431.98 juta berbanding RM389.05 juta pada FY2024, didorong permintaan berterusan terhadap produk bahan api biomassa dalam pasaran serantau.

Selain itu, keuntungan sebelum cukai syarikat meningkat kepada RM75.90 juta daripada RM56.35 juta, manakala margin keuntungan kasar berkembang kepada 23.91 peratus berbanding 20.99 peratus sebelum ini hasil kecekapan operasi yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oliver Yeo berkata, syarikat memulakan FY2026 dengan prestasi memberangsangkan selepas merekodkan keputusan kewangan tertinggi dalam sejarah syarikat pada FY2025.

Menurut beliau, bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, Elridge Energy mencatatkan hasil RM130.79 juta dan keuntungan selepas cukai RM17.77 juta berbanding RM109.67 juta dan RM13.58 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Permintaan terus dipacu pelanggan dari Jepun, Malaysia dan Thailand, sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat.

“Kami kekal komited memperluaskan kapasiti pembuatan, mengukuhkan rantaian bekalan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian bahan api biomassa mampan di rantau Asia Pasifik,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat di sini hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan syarikat itu, bahan api berasaskan PKS kekal menjadi penyumbang utama hasil syarikat dengan nilai RM388.63 juta atau kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan hasil FY2025.

Bagi menyokong pertumbuhan masa depan, Elridge Energy telah memperluaskan operasi pengeluaran menerusi kemudahan baharu di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor selain fasiliti sedia ada di Telok Gong dan Kapar di Selangor.

Langkah itu meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan syarikat kepada kira-kira 1.44 juta tan metrik, manakala pembangunan sebuah lagi fasiliti di Lahad Datu, Sabah sedang dirancang.

Dalam perkembangan lain, syarikat turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan niaga di Thailand dan Timur Tengah bagi memperluaskan pasaran eksport serta memperkukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan bahan api biomassa serantau.

Setakat kini, syarikat itu belum mengisytiharkan sebarang dividen bagi FY2025 dan lembaga pengarah akan mempertimbangkan perkara itu pada masa depan berdasarkan prestasi kewangan serta keperluan modal syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN