KUALA LUMPUR – Pemikiran baharu dan hala tuju yang jelas amat diperlukan bagi menangani perubahan iklim secara berkesan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan itu perlu juga dilihat melalui lensa maqasid syariah.
“Cabaran perubahan iklim menuntut penyelesaian yang berani, kolektif dan inovatif. Keadaannya sangat genting,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucaptama khas sidang Meja Bulat Ke-16 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di ibu negara, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, isu perubahan iklim tidak sepatutnya dipolitikkan kerana kekurangan konsensus global menghalang penyelesaian berkesan.
Titah baginda, isu perubahan iklim seolah-olah menjadi ‘bola sepak politik’ menyebabkan tiada kesepakatan global bagi menangani isu tersebut.
Baginda bertitah, manusia telah diberi amanah sebagai khalifah atau penjaga bumi oleh Allah SWT.
“Kita mempunyai tanggungjawab yang dikurniakan Tuhan untuk melindungi bumi dan segala yang ada di atasnya demi masa kini dan masa depan.
“Satu amanah untuk memastikan bumi kekal ‘hijau dan indah’ untuk generasi akan datang. Ini adalah seruan yang saya percaya akan bergema tidak kira apa jua agama atau kepercayaan,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin turut menekankan potensi kewangan Islam bernilai kira-kira AS$5 trilion (RM21.1 trilion) boleh memainkan peranan menyokong inisiatif iklim.
Titah baginda, sektor kewangan Islam yang semakin berkembang mempunyai alat dan sumber yang diperlukan untuk menyokong pelaburan dalam tindakan iklim.
Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan inovasi dalam teknologi hijau yang benar-benar menyelesaikan masalah, bukan sekadar mengalih atau memindahkannya. – KOSMO! ONLINE