PETALING JAYA – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menzahirkan rasa kecewa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melakukan kesilapan teknikal hingga mengakibatkan tiga pemainnya digantung 12 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak JDT, Luis Garcia berkata, pihaknya berharap isu yang berlaku sekarang dapat diselesaikan dengan kadar segera.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh FAM yang telah menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan Malaysia yang bermain untuk JDT.
“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan para pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghukum tujuh pemain warisan Harimau Malaya dengan menggantung setahun dan turut diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang.
Tujuh permain itu ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pemain iaitu Figueiredo, Irazabal dan Hevel tidak boleh diturunkan oleh JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). – KOSMO! ONLINE