KUALA LUMPUR – Seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah premis di kawasan Pudu di sini awal pagi tadi.
Operasi bermula pukul 12.05 tengah malam itu melibatkan 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pendaftaran Negara.
JIM WPKL berkata, seramai 320 warga asing diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 186 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Warga Bangladesh merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 118 lelaki ditahan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, turut ditahan ialah 28 warga Indonesia, diikuti Myanmar (26), Vietnam (5), Nepal (4), India (2), seorang warga Pakistan serta dua warga China,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! yang mengikuti operasi tersebut mendapati premis berkenaan dipenuhi warga asing pelbagai negara dengan sebahagian mereka dipercayai menjadikannya sebagai lokasi penempatan sementara.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














