KUALA LUMPUR – Seorang perunding hartanah mendedahkan wujud ketidakseimbangan amalan dalam kalangan pasangan Melayu ketika membuat keputusan melibatkan pembelian rumah, takaful dan penamaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Hamizi Hamdan menerusi hantaran di Facebooknya berkata, ramai suami dilihat lebih mengutamakan isteri dalam urusan harta, namun keadaan sama tidak berlaku sebaliknya apabila melibatkan pihak isteri.
“Masalah orang Melayu, contohnya suami beli rumah buat loan(pinjaman) nama dia, tapi SPA (perjanjian jual beli). dia masukkan juga nama isteri. Isteri beli rumah buat loan (pinjaman) nama dia, SPA pun nama dia seorang sahaja,” jelasnya.
Menurut Hamizi, situasi sama turut berlaku dalam pengurusan takaful antara suami dan isteri.
“Suami ambil takaful dan letak nama isteri sebagai penerima hibah. Isteri ambil takaful dan letak nama anak dan mak bapa sahaja sebagai penerima hibah.
“Dalam KWSP juga wujud perbezaan. Suami meletakkan nama isteri sebagai penama, tetapi isteri lazimnya menamakan anak atau ibu bapanya sebagai pewaris. Mujur penama dalam KWSP hanyalah pemegang amanah, bukannya penerima mutlak,” tambahnya.
Beliau menyifatkan fenomena ini sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan pasangan.
“Manakala keadilan kepada kaum suami?,” soalnya. – KOSMO! ONLINE